Thursday, June 6, 2013

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj



sumber rujukan dan pelbagai himpunan kisah menarik diambil dari sini
 .
Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.
.
Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.
.
Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.
.
Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.
.
Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada baginda. Lantas baginda memilih susu.
.
Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”
.
Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.
.
Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.
.
Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”
 .
Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.
.
Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”
 .
Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.
.
Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala.
.
Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).
Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.
.
Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.
.
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.” 
.
Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.
Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga. Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.
.
Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).
Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.
.
Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Segala peristiwa tercatat seharusnya lebih menguatkan keimanan dan keyakinan manusia terhadap Allah SWT.
.
Peristiwa ini membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi lambang kebesaran serta tempat suci bagi umat Islam daripada cengkaman Yahudi. Justeru, mereka perlu berkorban menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...