Dipetik dari website UNICEF Malaysia. Klik sini
Ibu bekerja, Amanda Sun dan bayinya yang berusia 9 bulan, Leanne
Oleh Su-May Tan
Kuala Lumpur, Ogos 2007 – Tiada masa untuk menyusukan
bayi? “Anda hanya perlu menyesuaikan masa anda,” kata Amanda Sun, 32 tahun,
Pengurus Operasi di IBM. Amanda telah mengambil keputusan untuk menyusukan
anaknya walaupun mempunyai jadual kerja yang ketat. Beliau masuk kerja awal
pagi dan habis kerja lewat malam tetapi itu tidak melemahkan semangat beliau
untuk terus menyusukan bayinya.
Amanda adalah ibu kepada Leanne yang kini berumur 9 bulan,
Amanda mengepam susu badannya tiga kali sehari – sekali setiap tiga hingga
empat jam – ia bergantung kepada masa beliau iaitu samada beliau berada di
dalam mesyuarat, menerima panggilan atau beliau perlu menyiapkan laporan dan
sebagainya. Leanne akan meminum botol susunya yang terakhir pada jam 6
petang. Oleh itu apabila Amanda pulang ke rumah pada jam lapan atau sembilan
malam, beliau sampai tepat pada masanya untuk menyusukan Leanne sebelum menidurkannya.
Amanda amat bertuah kerana syarikat di mana beliau bekerja
sekarang amat menggalakkan ibu-ibu yang bekerja untuk menyusukan bayi. “Ia
membawa perubahan yang besar,” kata beliau.
IBM menyediakan sebuah bilik khas yang dilengkapi dengan
peti sejuk dan tempat membasuh tangan untuk para ibu menyusu tanpa sebarang
gangguan. Oleh sebab itu Amanda tidak perlu pergi ke bilik air seperti ibu-ibu
yang lain. Walaupun terdapat sokongan seperti ini daripada syarikat beliau,
namun begitu bagi Amanda, beliau terpaksa menghadapi cabaran-cabaran lain yang
berkaitan dengan penyusuan ibu seperti terpaksa bergegas ke mesyuarat,
pengaliran susu, kesan-kesan susu pada pakaian dan rasa kurang selesa. “Memang
agak susah,” katanya lagi. “Tetapi, itulah jenis tekanan yang terpaksa anda
hadapi dan tangani.”Amanda percaya bahawa manfaat-manfaat yang didapati
daripada penyusuan ibu adalah lebih berbanding dengan kepayahan dan
kesusahannya.
Cabaran penyusuan ibu
Dengan peningkatan pengetahuan dan kesedaran oleh wanita
yang tinggal di bandaraya, kita patut menjangka lebih ramai ibu-ibu yang akan
menyusukan bayi mereka. Namun begitu, di Malaysia, bilangan wanita yang
menyusukan bayi sepenuhnya pada waktu enam bulan yang pertama masih
kekal rendah, kali terakhir ia direkodkan adalah 29% pada tahun 1996.
“Masalah penyusuan ibu di Malaysia,” kata Dr
Adlina Suleiman, Timbalan Pengerusi Persatuan Penyusuan Badan Malaysia, “adalah
untuk mengekalkan, bukannya untuk memulakan”. Sedang para doktor daripada
Kementerian Kesihatan dan sesetengah doktor daripada sektor swasta menggalakkan
para ibu untuk menyusukan bayi mereka daripada mula, kebanyakan
daripada mereka telah berhenti sebaik sahaja mereka mula bekerja, terutama
sekali dengan kesenangan dan kemudahan untuk membeli formula bayi.
Oleh itu, apa yang membuat Amanda mengambil keputusan untuk
menyusukan bayinya? “Ia menjimatkan,” katanya dengan nada ketawa. Tetapi dengan
nada yang serius, Amanda menerangkan, melalui pembacaan dan juga apa yang telah
diberitahu kepadanya, sehingga kini masih tiada bukti saintifik yang
menunjukkan bahawa formula bayi adalah bersamaan dengan susu ibu.
Susu ibu, formula istimewa untuk bayi
Susu ibu adalah dicipta khas untuk bayi. Susu permulaan,
“foremilk” (susu yang mengalir apabila bayi menghisap buat pertama kali)
memenuhi kehausan dan susu berikutnya “hindmilk” (susu yang keluar kemudiannya
mengandungi lebih lemak) memenuhi kelaparan. Tambahan pula, “pada pelbagai
peringkat (penyusuan ibu) anda boleh memberikan pelbagai jenis nutrisi kepada
bayi,” kata Amanda. Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar untuk diikuti oleh
mana-mana jenis formula bayi, tidak kira betapa majunya formula tersebut.
Sedang Amanda menyokong dan menggalakkan penyusuan ibu,
beliau mengaku ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ketika beliau masih berada di
dalam pantang, beliau menyusukan Leanne sekali setiap dua jam. Pada bulan yang
kedua, beliau telah menukarkan cara penyusuannya dengan menggunakan botol agar
Leanne dapat menyesuaikan diri dengannya. Pada bulan yang ketiga, Amanda
terpaksa kembali bekerja dan beliau terus mengepam susunya ke dalam botol susu.
“Kumpulan sokongan sememangnya amat penting,” kata beliau.
“Jangan rasa segan atau malu untuk bertanyakan soalan atau meminta pertolongan
daripada rakan-rakan yang rapat dengan anda.” Amanda sendiri amat berterima
kasih kepada dua orang rakan karibnya yang telah berjaya menyusukan anak-anak
mereka dengan susu badan. Pelbagai jenis buku boleh didapati tetapi kadangkala
kita lupa apa yang telah kita baca, kata Amanda. Cara yang terbaik adalah untuk
berbincang dengan seseorang mengenainya. Oleh itu Amanda beralih kepada
rakan-rakannya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk menggunakan
pam susu kepada berapa banyak susu yang perlu dipam.
Membina sistem tumbesaran bayi
Walaupun hanya baru beberapa bulan sahaja tetapi Amanda
mengatakan bahawa dia sudah dapat melihat perubahan yang ketara pada Leanne.
Salah satu manfaat yang didapati daripada penyusuan ibu adalah ia
meningkatkan daya ketahanan badan kanak-kanak. Sehingga hari ini, Leanne jarang
sekali mendapat penyakit seperti demam dan selsema, tidak seperti kanak-kanak
lain yang sebaya dengannya. Pilihan Amanda untuk menyusu bayinya mungkin salah
satu faktornya tetapi apa yang pasti adalah hubungan psikologikal yang
berkembang di antara ibu dan anak.
Walaupun terdapat ibu-ibu yang bekerja telah memilih untuk
tidak menyusukan anak-anak mereka, Amanda merasakan bahawa ia adalah penting
untuk mereka melakukannya. Selepas menghabiskan satu hari di tempat kerja,
kebanyakan wanita tidak mempunyai banyak masa untuk dihabiskan dengan bayi
mereka. Bagi Amanda, menyusu badan pada waktu malam merapatkan lagi hubungannya
dengan Leanne. “Saya sangat suka memegang tangannya atau menatap wajahnya
apabila dia telah tidur,” katanya lagi dengan senyuman. Sekarang, Leanne sudah
pun berumur 9 bulan. Amanda merancang untuk terus menyusu bayinya atau mungkin
anda boleh katakan beliau amat senang dengan aturan ini sehinggalah Leanne
mencecah umur satu tahun.
" Perlukan vitamin semasa berpantang untuk membantu mempercepatkan penyembuhan luka bersalin dan badan bertenaga dan cergas agar dapat mengekalkan penyusuan bayi, boleh call/wassap 0137669176 atau pm di FB Secret of Supplement
No comments:
Post a Comment